Translate

09 Disember 2011

Pakar: Bertenang, dunia tidak akan kiamat 2012


Jika anda bimbang bahawa dunia ini akan berakhir penghujung tahun depan berdasarkan kalendar kaum Maya — bertenang kerana tarikhnya masih jauh daripada ramalan.
Itu penegasan pakar-pakar Maya yang mengetepikan sebarang kepercayaan bahawa kaum Maya purbakala telah meramalkan dunia akan kiamat dengan malapetaka buruk pada Disember 2012.
Perkara itu juga telah digambarkan menerusi filem “2012” mengenai bagaimana dunia akan menjadi alam yang berbeza akibat kemusnahan dunia yang berlaku dua tahun lalu.
Dalam filem berkenaan kalendar kaum Maya berusia 5,125 akan tamat pada 21 Disember 2012.
Tamadun ini yang pernah wujud kira-kira 200 tahun sebelum masihi memiliki ilmu astronomi yang maju dan mereka berjaya mengesan pergerakan matahari dan planet sejak beberapa ribu tahun lalu. Ia mempunyai 22 kalendar yang merangkumi kitaran masa cakerawala dan sistem solar.
Pada tanggal 21 Disember 2012 bumi dikatakan akan berada sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti buat kali pertama sejak 25,800 tahun menyebabkan polar magnet bumi berganjak sekali gus mencetuskan gempa bumi, banjir dan letupan gunung berapi.
Kalendar Maya kuno dikatakan amat tepat terutama membabitkan perubahan pada planet.
Kalendar itu menyebut bahawa detik itu akan membawa kembali Bolon Yokte, dewa Maya yang dikaitkan dengan perang dan penciptaan.
Penulis Jose Arguelles merumuskan tarikh penghujung masa “yang kita ketahui” dalam buku 1987, yang spekulasinya menjurus kepada akhiran pergolakan dahsyat.
Bagaimanapun pakar-pakar yang mengadakan mesyuarat mereka di bandar raya Maya di selatan Mexico menjelaskan, ia hanya menggambarkan pengakhiran satu tempoh penciptaan dan permulaan kepada yang baru.
“Kita kena jelas mengenai ini. Tidak ada ramalan bagi 2012,” kata Erik Velasquez, pakar dari National Autonomous University of Mexico.
“Ia hanya falasi pemasaran,” kata beliau.
National Institute of Anthropological History yang berpejabat di Mexico sedang cuba untuk menghilangkan rasa ragu-ragu siri ramalan mengenai pergolakan dahsyat yang akan membawa kiamat.
“Pemikiran muluk-muluk Barat telah memutarbelitkan pandangan dunia tentangan dunia ketamadunan purbakala seperti (kaum) Maya,” kata institut itu dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Reuters.

Zaid Ibrahim saman editor, penerbit Buletin Rakyat


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ibrahim memfailkan saman fitnah berjumlah RM30 juta terhadap seorang penulis, pengarang dan penerbit akhbar Buletin Rakyat berhubung penerbitan satu artikel.
Zaid, yang kini Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), memfailkan saman itu menerusi Tetuan Bashir & Co pada 21 November lalu di Mahkamah Tinggi di sini.
Beliau menamakan penulis artikel Mohd Sayuti Omar, pengarang akhbar Norzah Kepol dan penerbit yang juga pemilik akhbar itu, Kantung Network Sdn Bhd, sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam pernyataan tuntutannya, Zaid mendakwa penerbitan artikel bertajuk “Zaid Terus Hanyut Dalam Keegoannya” telah memfitnah dan membawa maksud bahawa beliau memiliki moral politik yang rendah, seorang yang ego, bersikap autokratik, menggunakan kekayaan untuk memaksa orang tunduk kepadanya dan tidak memiliki ketinggian budi pekerti.
Zaid menuntut satu perintah menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah berkenaan di dalam akhbar dan internet, satu perintah supaya defendan mengambil langkah menarik balik atau memadamkan kata-kata fitnah itu dan defendan perlu menerbitkan atau menyiarkan permohonan maaf di akhbar itu secara berterusan selama dua bulan atau tempoh yang dianggap wajar oleh mahkamah.
Laporan Bernama Online menyebut, beliau turut menuntut ganti rugi am RM10 juta daripada setiap defendan, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Selain itu, pada tarikh yang sama Zaid turut memfailkan satu injunksi untuk menghalang ketiga-tiga defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah tersebut dan memohon perintah interim supaya defendan mengambil langkah menarik balik atau memadam kata-kata berkenaan yang terdapat di akhbar dan internet dengan serta merta.
Sementara itu hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof yang mendengar kes itu di dalam kamar menetapkan 14 Disember untuk pengurusan kes.

06 Disember 2011

Lesapkan Wang Rakyat Tetapi Salahkan DAP

Orang Melayu diingatkan agar tidak terpengaruh dengan politik kotor Umno yang menggunakan DAP sebagai modal untuk menakut-nakutkan mereka, sebaliknya perlu sedar dengan salah guna kuasa dan penyelewengan wang rakyat yang dilakukan parti itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Umno dalam perhimpunan agungnya minggu lalu secara tidak langsung mengakui sudah tidak mampu menarik sokongan orang Melayu kerana urus tadbir negara yang semakin lemah di bawah pemerintahan mereka.

Justeru, Umno terpaksa menuduh DAP akan lebih berkuasa dan mengambil hak orang Melayu jika orang Melayu menyokong Pakatan Rakyat.

"Saya nak ingatkan orang Melayu, jangan sampai kita takut kepada DAP, RM250 juta hilang dalam NFC (Perbadanan Fidlot Negara), takut dengan DAP, RM52 bilion saham bumiputera tinggal RM2 bilion, takut dengan DAP akhirnya RM1.8 bilion diberi kepada Tajudin Ramli (bekas Pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia-Mas), takut dengan DAP, berlaku skandal dalam wang PPRT RM32 bilion oleh menteri Umno," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Tambah Mahfuz, Umno terpaksa menarik sokongan orang Melayu yang semakin menurun bagi membolehkan mereka terus memerintah dan mengumpul kekayaan untuk  kroni mereka.

"Umno gunakan DAP untuk takutkan Orang Melayu, tapi dalam masa yang sama terus memunggah khazanah negara untuk kroni mereka," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurut beliau juga, perhimpunan agung Umno juga membuktikan parti itu masih takut memberi ruang yang sepenuhnya kepada perwakilan untuk membincangkan soal integriti kepimpinannya.

"Awal-awal lagi Ketua Polis Negara keluarkan kenyataan tak berlaku pecah amanah dalam NFC yang dimiliki suami (Datuk Seri) Shahrizat (Jalil). Ini hanya untuk mengelakkan huru hara dalam perhimpunan agungnya.

"Bila ada kenyataan daripada Ketua Polis Negara, perwakilan tak bangun persoal soal NFC tapi saya yakin Orang Melayu mempunyai pendirian yang sama iaitu mempersoal dan mempertikai kepimpinan Umno," katanya.

Siang Menjerit Bela Melayu, Malam Gadai Tanah

Umno berjaya mengalih isu kegagalan mereka selama ini membela Melayu di negara ini, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
“Sebaliknya peluru dihalakan kepada Pakatan Rakyat, khususnya DAP yang dianggap menyebabkan orang Melayu tinggal terkebelakang,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, Persidangan Agung Umno telah menjadi pesta memaki hamun terhadap pimpinan Pakatan Rakyat supaya perwakilan tidak membincang masalah cincin RM24 juta, projek lembu RM250 juta kepada suami Shahrizat, masalah Datin Seri Rosmah dan kepincangan Laporan Audit Negara.
“Semua isu ini berjaya didiamkan apabila perwakilan dicandukan dengan serangan kepada Pakatan Rakyat,” katanya.
Menurutnya, bermula daripada ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri umno sehinggalah kepada perbahasan perwakilan semuanya membelasah Pakatan Rakyat.
Beliau menambah, mereka memahami bahawa Umno perlukan undi Melayu sahaja, undi bukan Melayu mereka tidak mengharapkan lagi.
Katanya, Persidangan Agung Umno cuba memutar belitkan fakta kononnya Melayu ketinggalan semuanya angkara DAP.
Persoalannya, kata beliau DAP baru sahaja memerintah Pulau Pinang pada 8 Mac 2008, siapa yang memerintah Pulau Pinang selama ini.
Tambahnya, tindakan Umno menjerit orang lain yang mengkhianat orang Melayu seperti pencuri menjerit pencuri.
Justeru, beliau menyenaraikan pengkhianatan Umno kepada orang Melayu sebagai ‘tazkirah’ untuk pimpinan Umno yang mudah lupa.
Soalnya, siapa yang menghalau orang Melayu di di Kampung Plentong Tengah  Johor Baharu hampir 290 buah rumah yang ditolak dan dihalau pada 16 Oktober 2009.
Tambahnya, diskriminasi terhadap kerajaan yang sebangsa dan seagama di Kelantan seperti menyekat 118 projek di Kelantan sejak 1991 (Rancangan Malaysia Ke-6), merompak royalti minyak di Terengganu dan Kelantan sedangkan rakyat negeri itu majoriti Melayu.
“Siapa yang bertanggungjawab melesap saham Bumiputera daripada RM52 bilion (1984), hanya tinggal RM2 bilion (2005)?
“Siapa yang pernah menjual Syarikat Bernas (Syarikat Beras Negara) dijual  kepada syarikat  Hong Kong Wan Tak  Co. Ltd sebanyak  31.36%?” tanya beliau.
Umno, ujarnya melesap wang PPRT sebanyak RM32 juta di mana menterinya ketika itu, Datuk Annuar Musa daripada Umno.
Umno juga, katanya mengkhianati kepada  pendidikan orang Melayu kerana mengajar Metematik dan Sains  dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003.
Menurutnya, wang rakyat hangus hampir RM5 bilion dan siapa yang menggadai tanah rezab Melayu dari 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada  1.7 juta hektar (1995).
Katanya lagi, siapa yang bertanggungjawab terhadap 26,000 hektar  tanah rezab Melayu di Tanjung Langsat-Tanjung Piai Johor diambil untuk New Town Ship,rojek yang diusahakan oleh Kuok Brother Collabratioan UEM.
Beliau berkata, seluas 200 ekar tapak kilang simen Perak Hanjoong (sekarang YTL digadai oleh pemimpin umno kepada YTL), tanah rizab melayu di Padang Rengas, Kuala Kangsar dekat Highway.
“Ini hanya beberapa contoh sahaja, pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin hipokrit yang menjerit bela Melayu di siang hari di PWTC, tetapi di malam hari merekalah yang berunding menggadai tanah Melayu.

04 Disember 2011

Tuduhan Jahat Barat Terhadap Iran.

PELAJAR-pelajar wanita mempamerkan sepanduk 'Kedutaan Pengintip Ditutup Selamanya' dan gambar Ayatollah Ali Khamenei dan Ayatollah Khomeini semasa menyambut ketibaan diplomat Iran dari London di Teheran, semalam. - AFP


LONDON 3 Dis. - Duta Britain ke Iran, Dominick Chilcott mendakwa insiden serangan ke atas pejabat kedutaan Britain di Teheran pada Selasa lalu mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin Iran.

Beliau yang kini telah dipanggil pulang ekoran insiden itu berkata, serangan seperti itu hanya akan berlaku jika ia mendapat kebenaran daripada pemimpin negara itu.

"Iran bukanlah sebuah negara di mana demonstrasi secara spontan bertukar menjadi ganas dan kemudiannya menyerang kedutaan asing.

"Tindakan sepantas itu hanya boleh berlaku jika mendapat kebenaran dan sokongan daripada kerajaan negara itu," katanya kepada media Britain di London, semalam.

Sementara itu, diplomat-diplomat Iran yang diusir dari London akibat insiden serangan tersebut tiba di Teheran awal hari ini.

Ketibaan kumpulan diplomat itu bagaimanapun cuba disembunyikan daripada penglihatan media yang menunggu kedatangan mereka, dengan dibawa melalui koridor belakang di Lapangan Terbang Antarabangsa Teheran.

Menurut jurugambar AFP, kira-kira 150 pelajar yang berhimpun menunggu ketibaan diplomat itu sambil memekik 'Mati untuk Britain' dan memegang kalungan bunga tidak menyedari kehadiran kumpulan tersebut.

Kumpulan diplomat itu diusir dari London semalam, ekoran insiden keganasan di kedutaan Britain dan kediaman diplomatik di Teheran pada Selasa lalu yang dilancarkan oleh beratus-ratus penunjuk perasaan pro-rejim Iran.

Britain yang memindahkan semua diplomatnya dari Teheran untuk keselamatan mereka selepas serangan itu turut menutup kedutaannya dan mengarahkan Iran melakukan perkara sama.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast yang berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan diplomat tersebut berkata, pihaknya kecewa negara-negara Kesatuan Eropah (EU) lain turut mengambil tindakan yang menyokong Britain.

"Britain kini cuba melibatkan negara Eropah lain dalam isu ini, tetapi kami telah memberitahu negara EU lain supaya tidak merosakkan hubungan dengan Iran hanya kerana Britain," katanya kepada agensi berita Fars.

Perancis, Jerman, Belanda dan Itali telah memanggil duta mereka di Teheran bagi menunjukkan sokongannya kepada Britain.

EU pula mengetatkan sekatan ke atas Iran dan memberi amaran akan mengenakan sekatan lebih kuat terhadap sektor kewangan dan minyak negara ini. - AFP

Robot Berwajah Muslim Menjadi Sasaran Latihan Menembak Tentera AS.



ROBOT-ROBOT berwajah Arab atau pengganas yang dijadikan sasaran di pusat latihan menembak tentera Marin Amerika Syarikat, termasuk kain biru yang mewakili wanita berjilbab. - AGENSI


VIRGINIA 3 Dis. - Tentera Marin Amerika Syarikat (AS) mereka bentuk latihan menembak menggunakan peluru hidup dengan sasaran robot yang berwajah seperti orang Arab.

Direka oleh firma Marathon Targets yang beribu pejabat di Australia, robot tersebut telah pun diuji oleh tentera Marin AS dan diluluskan oleh ketua-ketua tentera dan pasukan pertama kini telah pun dihantar ke pangkalan di Quantico, Virginia yang melibatkan kos bernilai AU$57 juta (RM182 juta).

Robot itu menyediakan tahap realiti latihan menembak paling menakjubkan, contohnya, apabila satu daripada robot itu 'terbunuh', robot yang lainnya akan bertempiaran mencari perlindungan.

Ketua Pegawai Eksekutif Marathon Targets, Dr. Alex Brooks berkata, robot sasaran pintar itu boleh melaksanakan senario kompleks yang dirancang dan mampu bergerak tanpa diduga di dalam dan di luar penglihatan pelatih.

Robot sasaran pintar itu turut mampu bekerja dalam pasukan, bergerak bebas di seluruh kawasan sasaran dan pasukan elit sendiri mengakui ia dapat memperbaiki kemahiran menembak mereka dan keberkesanan serangan. - AGENSI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA